Pada tahun 1946, Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah dan mengundurkan tenteranya. Namun rakyat menolak penjajahan Inggeris kerana corak penjajahan Jepun yang zalim dan kejam begitu menghantui.
Inggeris telah mengatur rancangan membentuk Malayan Union di Tanah Melayu. Sir Edward Gent, telah dihantar untuk menerajui Malayan Union yang pertama. Beliau telah mengangkat sumpah untuk jawatan tersebut di Kuala Lumpur. Rakyat menolak penubuhan Malayan Union malah juga ditentang oleh Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu dan rakyat tempatan mula menentang upacara itu dan berkabung selama satu minggu.
Pada tahun 1946, Datuk Onn Jaafar telah menubuhkan satu kongres bagi semua kumpulan dan pertubuhan politik Melayu di Tanah Melayu. Kongres ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada Mac 1946. Dalam kongres tersebut, satu kata sepakat telah dicapai bagi membentuk sebuah parti politik sebagai wakil seluruh orang-orang Melayu di Semenanjung. Hasilnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah dibentuk. Bermula dari situ satu usaha ke arah memperjuangkan kemerdekaan Malaya telah tercetus dan akhirnya ke arah pembentukan negara Malaysia. Dengan beberapa barisan pejuang yang berjiwa kental yang antaranya terdiri dari Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn, maka pada 31 Ogos 1957 negara tercinta Malaysia telah menyaksikan satu detik bersejarah dengan penurunan bendera Union Jack di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai tanda berakhirnya sebuah penjajahan British di Tanah Melayu.
Sebab-sebab British menubuhkan Malayan Union
Britih telah menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946 sebagai persediaan Tanah Melayu ke arah pembentukan kerajaan sendiri. Melalui penggabungan ini, Tanah Melayu akan diberi latihan ke arah berkerajaan sendiri sesuai dengan Piagam Atlantik 1945. Piagam tersebut menganjurkan masa depan sesebuah negara ditentukan oleh rakyatnya sendiri. Selain itu, penubuhan Malayan Union juga adalah untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang cekap dan seimbang di antara negeri. Malayan Union juga akan mewujudkan bangsa Malayan Union supaya golongan pendatang dapat melupakan negara asal mereka. Malayan Union juga dapat menjimatkan kos pentadbiran selain mengawal kuasa politik orang Melayu. British juga dapat menguasai pentadbiran negeri-negeri Melayu.
Sebab-sebab Orang Melayu Menentang Malayan Union
Pelaksanaan Malayan Union telah menimbulkan penentangan orang Melayu terhadap sistem pemerintahan tersebut. Antara sebab penentangan ialah tindakan Sir Harold MacMichael yang mengugut raja-raja Melayu, contohnya Sultan Badlishah dari Kedah. Sultan turut tidak diberi masa yang secukupnya untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri. Orang Melayu juga menentang
kerakyatan mudah kepada kaum imigran secara jus soli. Status peribumi orang Melayu juga terjejas. Orang Melayu mempunyai kedudukan yang sama taraf dengan kaum pendatang.
Sir Harold MacMichael Mengugut Sultan
Pada 1 April 1946, British telah mengisytiharkan pembentukan Malayan Union di Kuala Lumpur. Pengisytiharan tersebut telah mendapat bantahan daripada orang Melayu, terutamanya terhadap SirHarold MacMichael. Beliau tidak memberi masa yang secukupnya kepada raja-raja Melayu untuk berfikir dan berbincang mengenai Malayan Union. Contohnya, Sultan Perak tidak diberi masa yang
cukup untuk membincangkan Malayan Union dalam Majlis Mesyuarat Negeri.
Sir Harold MacMichael juga mengugut sultan untuk diturunkan takhta sekiranya baginda enggan menandatangani perjanjian Malayan Union. Ini berlaku terhadap Sultan Badlishah dari Kedah.
Kesan-kesan Pelaksanaan Malayan Union
Antara kesan daripada pelaksanaan Malayan Union ialah telah berlaku perubahan status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada negeri jajahan. Kuasa raja-raja Melayu juga hilang walaupun mereka masih berhak membincangkan soal agama Islam, tetapi zakat fitrah dipungut atas nama Gabenor Malayan Union.
Selain itu, kedudukan orang Melayu kini setara dengan orang dagang berdasarkan kerakyatan sama rata atau jus soli. Dasar terbuka British ini dilihat akan mengancam status quo orang Melayu sebagai penduduk peribumi. Jumlah orang Melayu juga menjadi kecil dengan kemasukan orang dagang. Selain itu, ekonomi dan pendidikan orang Melayu juga amat mundur dan jauh ketinggalan berbanding dengan orang dagang yang diberi perhatian oleh British. Orang Melayu juga bimbang akan kehilangan warisan tamadun yang telah dibina oleh kerajaan Melayu seperti pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Oleh itu, orang Melayu bangun mempertahankan status quo mereka. Gabungan 29 buah pertubuhan Melayu bangun menentang Malayan Union menunjukkan wujud perpaduan kebangsaan untuk menentang Malayan Union.
Isu Jus Soli
Jus soli merupakan isu yang menjadi tuntutan orang dagang terhadap kerakyatan di Tanah Melayu. Isu ini telah dibantah oleh orang Melayu. Isu tersebut ialah pemberian hak kerakyatan yang sama rata kepada semua kaum di Tanah Melayu. Perjuangan ini dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Selepas perbincangan dan rundingan, raja-raja Melayu bersetuju menerima kerakyatan
jus soli. Kerakyatan jus soli diterima dengan bersyarat, iaitu orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Seterusnya suruhanjaya ini juga menyetujui agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu.